Tuesday, 25 December 2012

Adab berpakaian menurut Islam

Assalamualaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.
Bismillahirrahmanirrahim.
Bismillahirrahmanirrahim.
bismillahirrahmanirrahim

Firman Allah SWT dalam Surah al-A'araf, ayat 26 yang bermaksud; “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan- bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”


Islam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia melalui Nabi Muhammad SAW adalah penyelamat dan pembawa rahmat kepada mereka dan seluruh kehidupan mereka. Ia penyelamat manusia dalam setiap kegiatan dan kehidupan mereka di dunia dan memberi rahmat kepada manusia di saat bertemu kembali dengan Tuhan mereka di akhirat kelak.

Dalam hal ini, Islam telah memperincikan secara jelas tentang adab dan peraturan dalam mengurus kehidupan manusia termasuklah dalam hal yang berkaitan dengan pakaian dan perhiasan untuk mereka. Islam sebenarnya adalah agama yang mudah dan memudahkan umatnya bila garis dasar yang ditetapkan dalam berpakaian ialah menutup aurat dan bersih.

Aurat mengikut jumhur ulama bagi lelaki ialah dari bawah lutut hingga ke atas pusat mereka. Walau bagaimanapun, adab dan kesopanan dalam berpakaian menurut Islam menambahkan sehingga ke atas bahu apabila kita diminta meletakkan kain atau pakaian lain menutupi hingga ke atas dua bahu ketika hendak sembahyang.

Manakala aurat bagi wanita ialah seluruh tubuh mereka kecuali muka dan dua tangan bermula dari pergelangan tangan mereka. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa seluruh tubuh wanita itu adalah aurat termasuk muka mereka dengan alasan muka juga boleh menarik perhatian lelaki yang “hatinya berpenyakit” dan akan menimbulkan fitnah dalam masyarakat. Sewajarnya seseorang itu memakai pakaian yang sesuai kerana pakaian sopan dan menutup aurat adalah cermin seseorang itu Muslim sebenar.

ISLAM tidak menetapkan bentuk atau warna pakaian untuk dipakai, baik ketika beribadah atau di luar ibadat. Islam hanya menetapkan bahawa pakaian itu mestilah bersih, menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang Muslim.


Selain itu, Islam yang diterima oleh seluruh manusia di seluruh pelusuk dunia adalah berpunca dari pembawa yang sama iaitu Nabi Muhammad SAW dan baginda adalah dari bangsa Arab yang berpakaian mengikut budaya bangsa baginda. Oleh sebab puncanya bermula dari bangsa Arab yang mana cara pemakaian mereka ialah jubah, serban atau kopiah (sesuatu yang menutup kepala) bagi lelaki dan berjubah labuh menutup seluruh tubuh bagi wanita, maka ia juga turut dikira sebagai budaya pemakaian Islam bahkan lebih jauh lagi ia sudah dicap sebagai imej Islam itu sendiri. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”

Rasulullah SAW sendiri dalam segala segi manjadi rujukan dan ikutan setiap umat Islam yang komited dan istiqamah dengan suruhan agama, maka mereka turut meniru dan membudayakan setiap amalan dan tindakan termasuklah cara Rasulullah SAW berpakaian dalam hidup mereka. Itulah yang melambangkan imej dan syiar Islam sehinggakan keperibadian seseorang hamba itu turut dinilai melalui cara mereka berpakaian.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab, ayat 59 yang bermaksud; “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Inilah antara lambang kesempurnaan dan ajaran bagaimana Islam mendidik umatnya dalam berpakaian dan memilih pakaian yang melambangkan ketaqwaan kepada Allah. Oleh itu, kita sebagai umat Islam dan selagi kita meyakini bahawa setiap ajaran Islam itu benar dan meyakini bahawa Allah itu benar, maka kita akan dengan rela hati memilih dan berpakaian menurut Islam dan menjulang tinggi pakaian yang manjadi syiar dan lambang keislaman dan ketaqwaan kita walaupun ada mereka yang membenci, marah atau menyerang kita.

Ketahuilah, hakikatnya mereka mahu menyerang Islam itu sendiri tetapi mereka memperalatkan seorang dua golongan yang berperangai syaitan tetapi meniru pakaian Islam. Yakinlah Allah tetap bersama kebenaran dan Allah pasti bersama kita selagi kita bersama kebenaran. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa', ayat 85 yang bermaksud; “Sesiapa yang memberikan syafaat (tauladan) yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan tauladan yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas semua perkara.”

Di dalam Islam ada garis panduan tersendiri mengenai adab berpakaian (untuk lelaki dan wanita) iaitu:

1. Menutup aurat

AURAT lelaki menurut ahli hukum ialah daripada pusat hingga ke lutut. Aurat wanita pula ialah seluruh anggota badannya, kecuali wajah, tapak tangan dan tapak kakinya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Paha itu adalah aurat.” (Hadis riwayat Bukhari)



2. Tidak menampakkan tubuh

PAKAIAN yang jarang atau nipis sehingga menampakkan aurat tidak memenuhi syarat menutup aurat. Pakaian jarang bukan saja menampak warna kulit, malah boleh merangsang nafsu orang yang melihatnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia dan satu golongan lagi wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan meliuk-liukkan badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk. Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh.” (Hadis riwayat Muslim)




3. Pakaian tidak ketat

TUJUANNYA adalah supaya tidak kelihatan bentuk tubuh badan.



4. Tidak menimbulkan riak
RASULULLAH SAW bersabda bermaksud, “Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana perasaan sombong, Allah SWT tidak akan memandangnya pada hari kiamat.” 

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Sesiapa yang memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan pada hari akhirat nanti.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'iy dan Ibnu Majah)

5. Lelaki, wanita berbeza

MAKSUDNYA pakaian yang khusus untuk lelaki tidak boleh dipakai oleh wanita, begitu juga sebaliknya. Rasulullah SAW mengingatkan hal ini dengan tegas menerusi sabdanya yang bermaksud, “Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda juga bersabda bermaksud, “Allah melaknat lelaki berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)

6. Larangan pakai sutera

ISLAM mengharamkan kaum lelaki memakai sutera. Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Janganlah kamu memakai sutera, sesungguhnya orang yang memakainya di dunia tidak dapat memakainya di akhirat.” (Muttafaq 'alaih)



7. Melabuhkan pakaian

CONTOHNYA seperti tudung yang seharusnya dipakai sesuai kehendak syarak iaitu bagi menutupi kepala dan rambut, tengkuk atau leher dan juga dada.



Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai Nabi, katakanlah (suruhlah) isteri-isteri dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman, supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Menurut riwayat Imam at-Tirmidzi dan Nasai, dari Ummu Salamah r.a., Ya Rasulullah, bagaimana perempuan akan berbuat kain-kain mereka yang sebelah bawah? Sabda Rasulullah SAW, Hendaklah mereka memanjangkan barang sejengkal dan janganlah menambahkan lagi ke atasnya.

8. Memilih warna sesuai

CONTOHNYA warna-warna lembut termasuk putih kerana ia nampak bersih dan warna ini sangat disenangi dan sering menjadi pilihan Rasulullah SAW. Baginda bersabda bermaksud, “Pakailah pakaian putih kerana ia lebih baik, dan kafankan mayat kamu dengannya (kain putih).” (Hadis Riwayat an-Nasa'ie dan al-Hakim)

9. Larangan memakai emas

TERMASUK dalam etika berpakaian di dalam Islam ialah barang-barang perhiasan emas seperti rantai, cincin dan sebagainya. Bentuk perhiasan seperti ini umumnya dikaitkan dengan wanita namun pada hari ini ramai antara para lelaki cenderung untuk berhias seperti wanita sehingga ada yang sanggup bersubang dan berantai.

Semua ini amat bertentangan dengan hukum Islam. Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Haram kaum lelaki memakai sutera dan emas, dan dihalalkan (memakainya) kepada wanita.”

10. Larangan menggunakan perhiasan yang berbunyi

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nur, ayat 31 bermaksud, “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Wanita muslimah tidak dibenarkan menggunakan rantai kaki yang berloceng yang melilitkan kakinya. Rantai berloceng ini apabila dipakai walaupun tersembunyi tetap bergemerincing dan menarik perhatian orang lain, lebih-lebih lagi lelaki JAHAT.

11. Berlebih-lebihan dalam berwangi-wangian

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina.” (Hadis dari Abu Musa al-Asy’ari)

Wanita muslimah tidak guna minyak wangi yang baunya semerbak hingga menusuk hidung orang yang dilintasinya. Wangian sebegini mempunyai kuasa penyerakan bau yang amat tinggi kerana kadar kemeruwapannya tinggi. Biasanya kekuatan bau ini menunjukkan kadar kekompleksan rantai alcohol (secara kimia) yang digunakan utk membuat pewangi itu. Wanita yang tidak memakai wangian yang kuat ini tahu bahawa inilah yang dipesan oleh Rasulullah SAW. Bukan tidak boleh berwangi-wangi tetapi bersederhanalah dalam pemakaian wangian tersebut.

12. Larangan bertabaruj

Wanita yang menjaga maruah dirinya tidak mengguna alat make-up untuk menonjolkan kejelitaannya melainkan di hadapan suaminya sahaja. Adab bersolek (tabarruj) ini amat ditekankan kepada wanita muslimah kerana semestinya kecantikannya adalah hak ekslusif yang mesti persembahkan kepada suaminya sahaja. Jika ingin keluar bekerja, dia memakai make-up secara bersederhana sahaja sehingga tidak jelas kelihatan pada wajahnya dia bersolek. Jangan bersolek sehingga cantiknya anda sehingga kadang-kadang wajah anda menjadi seperti pelakon opera Cina! Jika hendak bergincu, gunalah gincu yang tidak menyerlah warnanya.

13. Mulakan sebelah kanan

APABILA memakai baju, seluar atau seumpamanya, mulakan sebelah kanan. Imam Muslim meriwayatkan daripada Aisyah r.a. bermaksud, “Rasulullah suka sebelah kanan dalam segala keadaan, seperti memakai kasut, berjalan kaki dan bersuci.”

Apabila memakai kasut atau seumpamanya, mulakan dengan sebelah kanan dan apabila menanggalkannya, mulakan dengan sebelah kiri.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Apabila seseorang memakai kasut, mulakan dengan sebelah kanan, dan apabila menanggalkannya, mulakan dengan sebelah kiri supaya yang kanan menjadi yang pertama memakai kasut dan yang terakhir menanggalkannya.” (Hadis riwayat Muslim).

14. Selepas beli pakaian

APABILA memakai pakaian baru dibeli, ucapkanlah seperti yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan At-Tirmidzi yang bermaksud, “Ya Allah, segala puji bagi-Mu, Engkau yang memakainya kepadaku, aku memohon kebaikannya dan kebaikan apa-apa yang dibuat baginya, aku mohon perlindungan kepada-Mu daripada kejahatannya dan kejahatan apa-apa yang diperbuat untuknya. Demikian itu telah datang daripada Rasulullah.”

15. Berdoa

KETIKA menanggalkan pakaian, lafazkanlah: “Pujian kepada Allah yang mengurniakan pakaian ini untuk menutupi auratku dan dapat mengindahkan diri dalam kehidupanku, dengan nama Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia.”

Sebagai seorang Islam, sewajarnya seseorang itu memakai pakaian yang sesuai menurut tuntutan agamanya kerana sesungguhnya pakaian yang sopan dan menutup aurat adalah cermin seorang Muslim yang sebenar.

Semoga menjadi amalan kita sehari-hari!

kredit - laman-seri.blogspot.com

No comments:

Post a Comment